Tuesday, December 27, 2011

Segera Lestarikan Tarbiyah Mekah


PENGALAMAN menunaikan fardu haji pada musim haji 1432 hijrah yang lalu pastinya meninggalkan seribu kenangan pahit manis kepada sejumlah 28,000 jemaah haji seluruh negara.

Golongan baharu bergelar haji dan hajah pasti mengakui betapa usaha-usaha untuk menyelesaikan rukun dan perkara wajib haji bukanlah suatu yang mudah. Setiap tetamu Allah SWT pasti melalui berbagai ujian dan cabaran sebelum lulus dan layak bergelar haji dan hajah.

Berdasarkan pengamatan penulis yang baru pulang daripada menunaikan fardu haji, ujian tersebut boleh jadi disebabkan cuaca ekstrem yang menyebabkan ramai diserang penyakit batuk kering yang berpanjangan walaupun setelah beberapa minggu kembali ke tanah air.

Begitu pula hidangan makanan yang kurang menyelerakan bagi sesetengah orang, cukup menjadikan mereka kurus kering kerana tidak berselera menjamah juadah yang disediakan. Ini ditambah dengan rutin harian terpaksa bersesak-sesak untuk menunaikan solat lima waktu di Masjidil Haram dan 40 waktu di Masjid Nabawi menyebabkan ada yang mengaku kalah lalu solat di hotel penginapan masing-masing.

Kini setelah kembali ke tanah air tentu ramai berasa lega kerana tidak lagi perlu bermalam di khemah seperti di Arafah dan Mina ataupun bersusah-payah berjalan beberapa kilometer sehari bagi menyelesaikan kerja-kerja haji seperti melontar di ketiga-tiga jamrah pada hari-hari Tasyrik. Juga tidak lagi perlu beratur dan berebut-rebut untuk ke tandas.

Namun persoalan yang lebih penting untuk dibicarakan adalah bagaimana golongan haji dan hajah berjaya melestarikan kesinambungan ibadah mereka di tanah air sama seperti pengalaman ibadah yang pernah dilaksanakan ketika di Tanah Suci Mekah dan Madinah.

Ataupun mungkin sudah ada yang awal-awal lagi ketinggalan solat lima waktu ketika penerbangan pulang ke tanah air, ataupun terpaksa solat di akhir waktu kerana sibuk melayan anak cucu dan kaum kerabat yang bertandang ke rumah.

Perlu difahami betapa panggilan haji dan hajah bukan sekadar gelaran eksklusif buat mereka yang berjaya menyelesaikan segala kerja-kerja haji dan terhenti di situ sahaja.

Ia merupakan panggilan kekal seumur hidup dan akan dipertanggungjawabkan pula terhadap kelangsungan segala pengalaman dan pengajaran yang pernah ditimba hingga ke akhir hayat.

Hakikatnya itulah cabaran sebenar yang perlu dihadapi oleh golongan baharu dan lama bergelar haji dan hajah. Malah itulah antara petanda betapa segala pengorbanan wang ringgit, masa dan tenaga yang disumbangkan ke jalan Allah SWT diterima dengan sebaiknya.

Segala amalan mulia seperti solat berjemaah, beriktikaf di masjid selama berjam-jam lamanya, mengaji al-Quran, berzikir dan melakukan pelbagai solat sunat ketika qiamullail sebaiknya diteruskan walaupun dalam kesibukan memulakan tugasan harian dan menyelesaikan kerja-kerja yang tertangguh.

Perlakuan ini bersesuaian dengan apa yang pernah diungkapkan oleh Imam al-Ghazali rahimahullah yang menyenaraikan beberapa gambaran positif seseorang yang dikurniakan nikmat haji mabrur. Antaranya berubah dengan bersosial bersama rakan-rakan yang lebih baik dan meninggalkan kerja-kerja dosa dan maksiat yang pernah dilakukan sebelum menunaikan fardu haji.

Golongan haji dan hajah juga dinasihat supaya sentiasa menjaga nama baik dan kedudukan mereka di mata masyarakat. Usahlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Lebih menyedihkan apabila nama baik Islam tercalar dek kerana perbuatan buruk segelintir umat Islam apatah lagi yang berstatus haji dan hajah dengan pelbagai perkara dosa dan maksiat.

Persoalan lain yang perlu difikirkan oleh golongan haji dan hajah senior ataupun junior ialah bagaimana untuk mengekalkan ganjaran haji mabrur yang kemungkinan telah diperoleh.

Begitu pula bagaimana untuk mengekalkan diri tanpa berbuat kemungkaran setelah kembali tanpa dosa ibarat bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya. Ataukah setiap hari ganjaran dan pahala haji mabrur berkurangan hingga tiada apa yang tersisa untuk dipersembahkan kepada Allah SWT apabila kembali menghadapNya.

Sudah tentu ia sesuatu yang sukar dilaksanakan dalam realiti kehidupan semasa. Sebagai contohnya ketika di Tanah Haram tiada pakaian mendedahkan aurat dan menjolok mata, tetapi di tanah air ia seperti tontonan wayang percuma yang boleh dilihat dimana-mana.

Begitu pula ketika di Tanah Haram segala tutur bicara diperhatikan bimbang terlanjur kata lalu mengundang bencana. Apabila pulang ke tanah air ia tidak lagi diperhatikan mungkin kerana tiada balasan serta-merta yang ditakuti.

Golongan haji dan hajah juga diseru menjadi pendakwah untuk mengajak sanak saudara dan rakan taulan agar bersegera menunaikan fardu haji. Hidangan air Zam-Zam, kurma dan kekacang yang menjadi juadah kepada tetamu yang bertandang ke rumah hendaklah diselitkan dengan peringatan agar mereka segera mendaftar di Tabung Haji untuk menunaikan rukun Islam yang ke-5.

Semoga segala susah payah dan pengorbanan yang dilalui sebagai tetamu Nya dibalas dengan ganjaran haji mabrur dan nikmat Syurga yang tidak ternilai harganya. Begitu pula segala kisah suka-duka yang diceritakan oleh para tetamu Allah sekembalinya mereka ke tanah air tidak dijadikan alasan oleh segelintir masyarakat untuk berlengah dengan berbagai alasan yang tidak syarie.

Malah umat Islam diseru untuk belajar daripada pengalaman orang lain supaya tidak terlibat melakukan kesilapan yang sama. Bak kata orang "belajarlah daripada kesalahan-kesalahan orang lain kerana anda tidak akan hidup lama untuk melakukan kesalahan-kesalahan itu sendirian".

No comments:

Post a Comment