Tuesday, December 27, 2011

Peningkat Drastik Jumlah Jemaah Haji

LANDASAN kereta api sejauh 276 batu akan dipasang antara Mekah dan Madinah oleh kerajaan Arab Saudi dengan belanja 4 bilion pound (RM19.2 bilion).

Demikian dilaporkan oleh majalah Sunday Times London sambil bercerita mengenai lebih 25,000 warga Islam di Britain menunaikan fardu haji baru-baru ini.

Di samping itu lapangan terbang Madinah akan meningkat dari tiga juta kepada 12 juta penumpang setiap tahun. Lapangan Terbang Jeddah pula akan meningkatkan kemampuannya hingga boleh menerima 80 juta penumpang setiap tahun. Seperti diketahui sistem pengangkutan moden (Mekah Metro) sepanjang 18 kilometer yang memudahkan jemaah haji berulang-alik antara Mina, Arafat dan Muzdalifa telah diadakan.

Sebelum ini laporan-laporan lengkap mengenai perjalanan jemaah haji British tidak mendapat tempat sewajarnya. Lalu dicatat kali ini, antara lainnya. Ketika ini 10 juta orang Islam mengunjungi Mekah setiap tahun. Pihak berkuasa Arab Saudi menduga bahawa bilangan itu akan meningkat hingga 20 juta menjelang tahun 2030.

Segera disebut bahawa perkarangan Masjidil Haram terus dipenuhi jemaah haji yang menunaikan sembahyang ke arah Kaabah.

Jemaah haji melakukan tawaf mengelilingi Kaabah tujuh kali sebelum saie - berulang-alik antara Bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali.

Dalam ingatan ialah ketabahan hati isteri Nabi Ibrahim, Siti Hajar berulang-alik sebanyak tujuh kali antara kedua-dua untuk mencari air dan akhirnya menemui air zam-zam.

Seperti telah disebut Safar dan Marwah adalah salah satu rukun haji dan umrah. Jika seseorang tidak mengerjakannya, maka batal hajinya.

Mohammad Ali, 33 tahun, seorang artis dari Birmingham yang telah menunaikan haji pada tahun 2007 memberitahu: Kami menunaikan fardu haji untuk memperbaiki diri sendiri, bersama adik-beradik dan untuk memohon keampunan dari Allah swt.

Juga ditemuramah ialah Sirajuddin Holland yang menunaikan haji lalu. Nama asalnya James Holland dan ia memeluk agama Islam pada tahun 1995. Beliau pula menjelaskan: "Di waktu menunaikan haji kita bertemu dengan warga Islam dari seluruh dunia yang berbicara dalam ratusan bahasa lain, tetapi kesemua bersatu-padu beramal ibadat".

kedudukan

Dalam menunaikan fardu haji kesemua adalah sama rata kedudukan mereka. Putera Raja Arab yang kaya raya bersama dengan petani dari Somalia beramal ibadah bersama ribuan yang lain.

"Islam adalah agama yang paling cepat sekali berkembang dalam dunia ini. Dalam masa 10 tahun lalu Mekah telah membesar dan memenuhi keperluan begitu ramai yang datang".

Menurut Haider Ali, seorang penasihat pelancongan dari London, pihaknya juga menerima permintaan dari yang kaya raya hingga sanggup membayar 20,000 pound untuk 10 hari.

Turut ditemuramah ialah Michael Wolfe, penulis buku One Thousand Roads to Mecca. Beliau menjelaskan: "Hingga ke abad ke-20 perjalanan ke Mekah sukar sekali. Ada yang naik kapal, berjalan kaki, naik unta. Mereka meninggalkan keluarga berbulan-bulan lamanya, bahkan bertahun. Mata pencarian mereka tergendala.

Ada kala mereka dirompak atau dicederakan malah ada yang mati dalam perjalanan. Kini 95 peratus jemaah haji tiba dengan kapal terbang. Kerana itu Lapangan Terbang Jeddah adalah yang ketiga besarnya dalam dunia".

Wolfe, dari Amerika, telah tiga kali menunaikan haji sejak memeluk agama Islam pada tahun 1983. Menurutnya, pelbagai bahaya tidak menghalang para jemaah.

Menurut kenyataan Jabatan Pertahanan Awam Arab Saudi telah menggerakkan 21,900 pegawai dan 19 helikopter untuk memastikan keselamatan 2.5 juta jemaah haji dari serata dunia.

Sementara itu pihak Tabung Haji Malaysia menyediakan 800 petugas di Mekah untuk menguruskan perjalanan kira-kira 28,000 jemaah haji Malaysia kali ini.

Yang dilaporkan kali ini berbeza dengan kenyataan warga Inggeris yang menyamar diri sebagai seorang Islam dan masuk ke Mekah pada abad ke-19. Lalu beliau meramalkan bahawa bilangan para jemaah akan berkurang tahun demi tahun.

Sebaliknya bilangan jemaah haji terus meningkat. Menurut majalah Sunday Times London, bilangan kali ini lebih dari tiga juta.

Maka kini yang telah menunaikan fardu haji dan yang belum menunggu perkhidmatan kereta api antara Mekah dan Madinah. Dalam ingatan ialah kisah perjalanan Nabi Muhammad saw dari Mekah ke Madinah. Antara lain ialah dicatat:

Nabi Muhammad saw telah disambut oleh penduduk Madinah (kaum Ansar dan Muhajirin) dengan nyanyian selamat datang. Selepas itu Madinah menjadi bandar Islam pertama.

No comments:

Post a Comment