PADANG ARAFAH 25 Okt. - Lebih dua juta jemaah
haji dari 189 buah negara mula berkumpul di Padang Arafah awal pagi ini
bagi menyempurnakan ibadah wukuf. Sesetengah jemaah tiba di Padang Arafah sejak semalam dan bermalam di
khemah-khemah yang disediakan di situ, namun ada juga jemaah yang tiba
ketika subuh. Selepas sembahyang subuh, jemaah bergerak menuju sebuah bukit kecil 'Jabal Rahmah' sambil berdoa.
Kawasan yang terletak antara dua bukit berbatu besar itu juga
merupakan tempat Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhirnya
sebelum baginda wafat. Pengawal mengarahkan jemaah agar tidak mendaki tangga bukit berbatu
yang licin itu menggunakan pembesar suara, "Nabi Muhammad SAW sendiri
tidak pernah mendaki bukit itu," tegas arahan itu.
Bagaimanapun, ada jemaah yang ingkar dengan mendaki bukit tersebut. Kumpulan jemaah dari Syria dilihat membawa bendera besar dengan
lambang kumpulan pemberontak, sebagai simbol menentang pemerintahan
Presiden Bashar al-Assad. Selepas matahari terbenam, jemaah akan bergerak menuju Muzdalifah
yang terletak antara Mina dan Arafah, mengumpul batu kerikil untuk
dilontar di Jamratul Aqabah esok, acara akhir bagi menyempurnakan Rukun
Haji dan menandakan tibanya Aidiladha.
Selepas itu, umat Islam akan melakukan ibadah korban yang dituntut
dalam Islam sebagai lambang pengorbanan yang pernah dilakukan Nabi
Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail. Ketika menyempurnakan baki tiga hari ibadat haji, jemaah masih
meneruskan upacara melontar batu sebelum melakukan tawaf wida', tawaf
selamat tinggal sebelum pulang ke negara masing-masing. - AFP