Tuesday, December 27, 2011

MASJIDILHARAM

Masjidilharam mempunyai banyak nama, di antaranya ialah:

Baitulharam: Firman Allah s.w.t:
ِ
Yang bermaksud: "Allah menjadikan Kaabah, rumah yang mulia itu, sebagai tempat tumpuan manusia (untuk menjalankan ibadat dan hal-hal hidup)."
Kaabah: Dinamakan dengan nama Kaabah: Kerana bentuknya adalah empat persegi, setiap binaan yang tinggi dan berbentuk empat persegi dinamakan Kaabah.
Masjidilharam: Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram (tempat letak Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya."
ُ
Baitul Atiq: Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.

Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Allah s.w.t namakan Masjidil haram dengan Baitul-Atiq kerana Dia telah membebaskannya daripada golongan penceroboh yang degil lagi zalim, golongan ini tidak dapat memasukinya." Dikatakan juga kerana binaannya yang lama dimana ia merupakan rumah pertama yang dibina untuk manusia.
Baniyyah:

Di dalam hadis Barra' daripada Ma'rur: Aku berazam tidak akan menjadikan Baniyyah berada di belakangku. (Baniyyah bermaksud Kaabah).

Nama-nama Mekah


Tidak diketahui negeri lain yang mempunyai banyak nama selain dari Mekah dan Madinah, ini disebabkan kedua-duanya merupakan tempat yang paling mulia. Di antara nama-nama bagi negeri Mekah Mukarramah ialah:-


Balad: Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Aku bersumpah dengan negeri (Mekah) ini, sedang engkau (wahai Muhammad) tinggal di negeri ini (sentiasa ditindas).
Baladul Amin: Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Serta negeri (Mekah) yang aman ini."
Khuzaimah bin Thabit bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w mengenai ayat tersebut lalu Baginda s.a.w. menjawab: "Mekah."
Baldah: Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "(Katakanlah wahai Muhammad) Aku hanyalah diperintahkan supaya menyembah Allah Tuhan negeri (Mekah) ini."
Bakkah: Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (untuk beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Mekah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia."
Mekah: Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Di kawasan Mekah, sesudah Dia menjadikan kamu dapat menewaskan mereka."
Ada pendapat yang mengatakan bahawa Bakkah adalah tempat terletaknya Baitullah, Mekah dan kawasan persekitarannya.
Qaryah: Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberi satu contoh sebuah negeri."
Mujahid berkata: Maksudnya ialah Mekah.
Masjidilharam: Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjidilaqsa (di Palestine)".
Ma'aad: Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah yang mewajibkan kepadamu (beramal dan menyampaikan) Al-Quran (wahai Muhammad) sudah tentu akan menyampaikan engkau lagi kepada apa yang engkau ingini dan cintai."
Ummul Qura: Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada (penduduk) "Ummul Qura" dan sekalian penduduk dunia di sekelilingnya."
Makhraja Sidqin: Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa): Wahai Tuhanku! Masukkanlah aku ke dalam urusan ugamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah aku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku."
Bassah: Kerana ia membinasakan golongan ateis yang terdapat di dalamnya iaitu menghancurkan dan memusnahkannya.
Basaq: Iaitu si polan itu lebih tinggi daripada sahabat-sahabatnya. Mekah merupakan negeri yang berkedudukan paling tinggi kerana ia membinasakan golongan ateis.
Nama-nama tambahan: Barrah - Ar-Raks - Ar-Ritaj - Sabuhah - Salam - Salah - Tibah - Al-Azra' - Al-Arsyu - Al-Arisy - Al-Arudh - Faran - Al-Muqaddasah - Al-Qadis - Qarbatul Hima - Qarbatul Naml - Tukratul Ghurab - Kutha - Al-Makkatan - Nadir - Al-Wadi - Ummu Rahim - Ummu Ruhm - Ummu Ar-Ruhm - Ummul Rahamat - Ummu Rauh - Ummu Zuhm - Ummu Sabih - Ummu Kutha.
An-Nasah-An-Nasyah: Kerana ia mengeluarkan zionis yang berada di dalamnya, iaitu mengusirnya.
An-Nassasah: Kerana airnya berkurangan disebabkan terkeluar iaitu kekeringan.

GAMBAR TERKINI PROJEK PENGUBAHSUAIAN DI MASJIDIL HARAM MEKAH





Jam Makkah 'Sentuhan Malaysia'

MENARA Abraj Al-Bait mercu tanda utama kota Makkah. Gambar kecil, Wan Nazri Wan Aria.
MENARA Abraj Al-Bait mercu tanda utama kota Makkah. Gambar kecil, Wan Nazri Wan Aria.
MAKKAH: Rakyat Malaysia boleh berbangga melihat struktur menara jam yang tersergam indah menghadap Masjidil Haram di sini, Menara Hotel Jam Diraja Makkah atau dikenali sebagai Abraj Al-Bait, kerana ia sebenarnya mempunyai 'sentuhan anak Malaysia'.

Wan Nazri Wan Aria, 31, adalah jurutera syarikat dari Jerman, SL Rasch, yang bertanggungjawab menampilkan reka bentuk dan pembinaan menara jam gergasi itu.
Katanya, menara itu memerlukan 'struktur keluli tidak berat' untuk menyokong jam gergasi itu, dan kejituan teknologi Jerman dengan kerjasama tenaga pakar Syarikat Premier Composite Technology dari Dubai, diperlukan untuk menyempurnakan tanggungjawab berkenaan.
Uniknya, 14 tenaga pakar Premier Composite Technology itu juga adalah daripada kumpulan anak muda Malaysia yang diberi tanggungjawab untuk memasang jam gergasi yang memukau perhatian jutaan jemaah dari serata dunia mengerjakan haji dan umrah.

Dengan ketinggian 601 meter, ia adalah menara jam tertinggi dan terbesar dunia, mengalahkan struktur menara jam lain yang terkenal di seluruh dunia seperti Menara jam Palace of Culture and Science di Warsaw Poland, Menara jam The Big Ben di London, dan Menara jam Ann-Bradley di Milwaukee Amerika Syarikat.

“Ia tiga kali lebih besar daripada Menara Big Ben di London,” kata pemuda kelahiran Melaka, yang menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan awam di Universiti Teknologi Mara pada 2002 sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Stuttgart, Jerman.

Nazri bersama beberapa jurutera Premier Composite Technology ditemui kumpulan media Tabung Haji yang menikmati teh tarik di Restoran Felda D'saji di Safwa Tower berhampiran Masjidil Haram di sini.
Katanya, beliau amat berbangga dapat menjadi sebahagian tenaga pakar yang melakar sejarah di Makkah, apabila dibabitkan dalam kerja membina mercu tanda terbaru yang dapat membantu jemaah mengenal pasti kedudukan Masjidil Haram dari jauh lagi, di tengah kota di Tanah Suci itu.

Jam gergasi yang dihias replika bulan sabit itu dikatakan boleh dilihat dari jarak sehingga 17 kilometer pada waktu malam dan 12 kilometer pada waktu siang, manakala cahaya daripada dua juta lampu LED yang menghiasinya berkerlipan setiap kali azan berkumandang pula boleh dilihat dari jarak sehingga 28 kilometer pada waktu malam.

Selain itu, 90 juta kaca mozek keemasan digunakan menghiasi keempat-empat permukaan jam berkenaan.

Nazri berkata, menara jam yang dilaporkan bernilai RM9 bilion itu dijangka siap sepenuhnya pada Februari depan sebelum diserahkan kepada pemaju dan kontraktornya, Kumpulan Binladin pada Mei, dan beliau bersama kumpulan pakar Premier Composite Technology akan terus berada di Makkah bagi memantau dan menyelia kerja akhir pembinaan menara jam itu.

Sementara itu, menceritakan pengalaman kerja di sebuah syarikat Jerman, Nazri berkata, beliau mengambil masa lama sebelum kepakarannya mendapat perhatian, pengiktirafan dan diberi peluang menerajui projek itu.

Rakannya, jurutera Premier Composite Technology, Armazizul Arifin pula berkata, bahan komposit adalah satu bidang baru dan tidak banyak syarikat dunia mempunyai kepakaran serta teknologi berkaitan bahan itu.

Beliau berkata, bekerja dalam satu kumpulan tenaga pakar dari negara sama menjadi satu kelebihan, dan menurutnya, beliau bersama kumpulannya turut terbabit dalam beberapa projek besar membabitkan pemasangan struktur binaan logam yang kukuh tetapi ringan itu.

Beliau bersama kumpulan rakannya juga terbabit dalam pemasangan kubah bergerak di Masjid Al-Nabawi di Madinah dan juga kubah di Masjid Putrajaya. – BERNAMA

Peningkat Drastik Jumlah Jemaah Haji

LANDASAN kereta api sejauh 276 batu akan dipasang antara Mekah dan Madinah oleh kerajaan Arab Saudi dengan belanja 4 bilion pound (RM19.2 bilion).

Demikian dilaporkan oleh majalah Sunday Times London sambil bercerita mengenai lebih 25,000 warga Islam di Britain menunaikan fardu haji baru-baru ini.

Di samping itu lapangan terbang Madinah akan meningkat dari tiga juta kepada 12 juta penumpang setiap tahun. Lapangan Terbang Jeddah pula akan meningkatkan kemampuannya hingga boleh menerima 80 juta penumpang setiap tahun. Seperti diketahui sistem pengangkutan moden (Mekah Metro) sepanjang 18 kilometer yang memudahkan jemaah haji berulang-alik antara Mina, Arafat dan Muzdalifa telah diadakan.

Sebelum ini laporan-laporan lengkap mengenai perjalanan jemaah haji British tidak mendapat tempat sewajarnya. Lalu dicatat kali ini, antara lainnya. Ketika ini 10 juta orang Islam mengunjungi Mekah setiap tahun. Pihak berkuasa Arab Saudi menduga bahawa bilangan itu akan meningkat hingga 20 juta menjelang tahun 2030.

Segera disebut bahawa perkarangan Masjidil Haram terus dipenuhi jemaah haji yang menunaikan sembahyang ke arah Kaabah.

Jemaah haji melakukan tawaf mengelilingi Kaabah tujuh kali sebelum saie - berulang-alik antara Bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali.

Dalam ingatan ialah ketabahan hati isteri Nabi Ibrahim, Siti Hajar berulang-alik sebanyak tujuh kali antara kedua-dua untuk mencari air dan akhirnya menemui air zam-zam.

Seperti telah disebut Safar dan Marwah adalah salah satu rukun haji dan umrah. Jika seseorang tidak mengerjakannya, maka batal hajinya.

Mohammad Ali, 33 tahun, seorang artis dari Birmingham yang telah menunaikan haji pada tahun 2007 memberitahu: Kami menunaikan fardu haji untuk memperbaiki diri sendiri, bersama adik-beradik dan untuk memohon keampunan dari Allah swt.

Juga ditemuramah ialah Sirajuddin Holland yang menunaikan haji lalu. Nama asalnya James Holland dan ia memeluk agama Islam pada tahun 1995. Beliau pula menjelaskan: "Di waktu menunaikan haji kita bertemu dengan warga Islam dari seluruh dunia yang berbicara dalam ratusan bahasa lain, tetapi kesemua bersatu-padu beramal ibadat".

kedudukan

Dalam menunaikan fardu haji kesemua adalah sama rata kedudukan mereka. Putera Raja Arab yang kaya raya bersama dengan petani dari Somalia beramal ibadah bersama ribuan yang lain.

"Islam adalah agama yang paling cepat sekali berkembang dalam dunia ini. Dalam masa 10 tahun lalu Mekah telah membesar dan memenuhi keperluan begitu ramai yang datang".

Menurut Haider Ali, seorang penasihat pelancongan dari London, pihaknya juga menerima permintaan dari yang kaya raya hingga sanggup membayar 20,000 pound untuk 10 hari.

Turut ditemuramah ialah Michael Wolfe, penulis buku One Thousand Roads to Mecca. Beliau menjelaskan: "Hingga ke abad ke-20 perjalanan ke Mekah sukar sekali. Ada yang naik kapal, berjalan kaki, naik unta. Mereka meninggalkan keluarga berbulan-bulan lamanya, bahkan bertahun. Mata pencarian mereka tergendala.

Ada kala mereka dirompak atau dicederakan malah ada yang mati dalam perjalanan. Kini 95 peratus jemaah haji tiba dengan kapal terbang. Kerana itu Lapangan Terbang Jeddah adalah yang ketiga besarnya dalam dunia".

Wolfe, dari Amerika, telah tiga kali menunaikan haji sejak memeluk agama Islam pada tahun 1983. Menurutnya, pelbagai bahaya tidak menghalang para jemaah.

Menurut kenyataan Jabatan Pertahanan Awam Arab Saudi telah menggerakkan 21,900 pegawai dan 19 helikopter untuk memastikan keselamatan 2.5 juta jemaah haji dari serata dunia.

Sementara itu pihak Tabung Haji Malaysia menyediakan 800 petugas di Mekah untuk menguruskan perjalanan kira-kira 28,000 jemaah haji Malaysia kali ini.

Yang dilaporkan kali ini berbeza dengan kenyataan warga Inggeris yang menyamar diri sebagai seorang Islam dan masuk ke Mekah pada abad ke-19. Lalu beliau meramalkan bahawa bilangan para jemaah akan berkurang tahun demi tahun.

Sebaliknya bilangan jemaah haji terus meningkat. Menurut majalah Sunday Times London, bilangan kali ini lebih dari tiga juta.

Maka kini yang telah menunaikan fardu haji dan yang belum menunggu perkhidmatan kereta api antara Mekah dan Madinah. Dalam ingatan ialah kisah perjalanan Nabi Muhammad saw dari Mekah ke Madinah. Antara lain ialah dicatat:

Nabi Muhammad saw telah disambut oleh penduduk Madinah (kaum Ansar dan Muhajirin) dengan nyanyian selamat datang. Selepas itu Madinah menjadi bandar Islam pertama.

Keistimewaan Masjidil Haram


Telaga zamzam kini dipamerkan di Muzium Senibina Dua Masjid Suci Mekah dan Madinah yang sering dikunjungi oleh jemaah haji dan umrah.


MASJIDIL Haram merupakan masjid tertua di dunia. Dalam bahasa Arab, Masjidil Haram bererti masjid yang dihormati atau dimuliakan.

Sejak tahun kelepan kerasulan Nabi Muhammad SAW, baginda menjadikan Masjidil Haram sebagai tempat ibadah umat Islam. Oleh hal yang demikian itu, masjid itu menjadi tumpuan umat Islam dari seluruh dunia melakukan ibadah haji, umrah, solat dan menuntut ilmu. Mereka datang daripada pelbagai mazhab.

Di tengah-tengah Masjidil Haram terletaknya kaabah. Bangunan terpenting dalam Masjidil Haram adalah kaabah.

Ia berbentuk kiub dan disebut juga BaitullahBaitulatiq (Rumah Kuno) dan Baitulharam (Rumah Suci). Di dalam masjid ini juga terdapat makam Ibrahim (bekas tapak kaki Nabi Ibrahim a.s pada batu ketika membina atau mendirikan kaabah), hajar aswad (batu hitam) dan telaga zamzam. (Rumah Allah),

Masjidil Haram - sebuah kompleks bangunan yang berbentuk empat persegi yang mengelilingi kaabah. Masjid ini terletak di atas tanah empat segi di tengah-tengah kota Mekah.

Keadaan Masjidil Haram pada masa nabi dan Saidina Abu Bakar tidaklah seluas sekarang. Pada zaman Saidina Umar dan Uthman, masjid ini diperluaskan dan dibina dinding di sekelilingnya.

Kerja-kerja pembaikan terus dilakukan sehingga pemerintahan Umaiyah. Usaha untuk memperindahkan bangunan ini secara besar-besaran dilakukan pada zaman Kerajaan Abasiah.

Ketika Sultan Salim II (1566-1574 M) daripada kerajaan Uthmaniah memerintah, baginda beberapa kali memperbaiki dan menambah bangunan berupa atap kecil.

Berikutan tuntutan zaman dan perkembangan umat Islam, Masjidil Haram hingga kini terus menerus diperluas dan diperindah oleh pemerintahan kerajaan Arab Saudi.

Di sekeliling masjid itu terdapat tujuh menara yang menjulang tinggi. Ketujuh-tujuh menara itu masing-masing mempunyai nama iaitu Bab al-Umrah, Bab al-Hazurah, Bab as-Salam, Bab az-Ziadah, Bab al-Ali, Sulaimaniah, dan Kait Bai. Menara-menara itu turut menjadi model masjid di seluruh dunia.

Masjidil Haram memiliki keutamaan yang tersendiri bagi umat Islam. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Janganlah memberatkan untuk mengadakan perjalanan kecuali ke tiga masjid: Masjidil Haram, masjidku (Masjid Nabawi di Madinah), dan Masjidil Aqsa. Solat di Masjidil Haram lebih utama daripada 100,000 kali solat di masjid lain kecuali di Masjidil Aqsa". (riwayat ad-Darimi, an-Nasaie dan Ahmad)

Telaga zamzam terletak di bahagian tenggara Kaabah dengan kedalaman kira-kira 45 meter (m). Telaga itu juga disebut Telaga Ismail.

Pada masa Abdul Mutalib sebagai pembesar Mekah, telaga ini tertutup tanah. Beliau melakukan penggalian dan seterusnya telaga ini berada di bawah pengawasannya.

Masjid ini ditutupi dengan atap dan dilengkapi dengan menara, tiang-tiang kecil tempat lampu penerang, dan kubah-kubah kecil (152 buah). Tiang setinggi sekitar 6m dan berdiameter kira-kira 0.5m berjumlah 589 buah.

Setiap tiga tiang diselangi dengan satu tiang besar dengan ketebalan sekitar 1.2m.

Di bahagian utara pula terdapat satu tiang merah dan satu tiang abu-abu kemerah-merahan, manakala di bahagian timur terdapat dua tiang abu-abu.

Di bahagian loteng atau lelangit terdapat ukiran kaligrafi ayat-ayat al-Quran dan perhiasan.

Pada bahagian tembok pula terdapat batu inskripsi yang bertuliskan Muhammad, Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan Asma ul Husna.

Masjidil Haram memiliki 19 pintu gerbang yang sering terbuka dan juga mempunyai nama-nama antara lain:

(1) Bab as-Salam (pintu salam), disunnahkan masuk ke masjid menerusi pintu ini bagi orang yang pertama kali memasukinya dan akan melakukan tawaf;

(2) Bab as-Safaa (pintu Safaa), pintu keluar menuju bukit Safaa untuk melakukan saie;

(3) Bab as-Su'ud (pintu su'ud);

(4) Bab al-Umrah (pintu umrah), biasanya dimasuki oleh orang yang mengerjakan umrah ketika melakukan tawaf; dan

(5) Bab Bani Syaibah (pintu Syaibah), sekarang pintu itu tidak wujud lagi kerana termasuk dalam pelan perluasan kawasan kompleks masjid itu untuk jemaah haji melakukan tawaf.

Segera Lestarikan Tarbiyah Mekah


PENGALAMAN menunaikan fardu haji pada musim haji 1432 hijrah yang lalu pastinya meninggalkan seribu kenangan pahit manis kepada sejumlah 28,000 jemaah haji seluruh negara.

Golongan baharu bergelar haji dan hajah pasti mengakui betapa usaha-usaha untuk menyelesaikan rukun dan perkara wajib haji bukanlah suatu yang mudah. Setiap tetamu Allah SWT pasti melalui berbagai ujian dan cabaran sebelum lulus dan layak bergelar haji dan hajah.

Berdasarkan pengamatan penulis yang baru pulang daripada menunaikan fardu haji, ujian tersebut boleh jadi disebabkan cuaca ekstrem yang menyebabkan ramai diserang penyakit batuk kering yang berpanjangan walaupun setelah beberapa minggu kembali ke tanah air.

Begitu pula hidangan makanan yang kurang menyelerakan bagi sesetengah orang, cukup menjadikan mereka kurus kering kerana tidak berselera menjamah juadah yang disediakan. Ini ditambah dengan rutin harian terpaksa bersesak-sesak untuk menunaikan solat lima waktu di Masjidil Haram dan 40 waktu di Masjid Nabawi menyebabkan ada yang mengaku kalah lalu solat di hotel penginapan masing-masing.

Kini setelah kembali ke tanah air tentu ramai berasa lega kerana tidak lagi perlu bermalam di khemah seperti di Arafah dan Mina ataupun bersusah-payah berjalan beberapa kilometer sehari bagi menyelesaikan kerja-kerja haji seperti melontar di ketiga-tiga jamrah pada hari-hari Tasyrik. Juga tidak lagi perlu beratur dan berebut-rebut untuk ke tandas.

Namun persoalan yang lebih penting untuk dibicarakan adalah bagaimana golongan haji dan hajah berjaya melestarikan kesinambungan ibadah mereka di tanah air sama seperti pengalaman ibadah yang pernah dilaksanakan ketika di Tanah Suci Mekah dan Madinah.

Ataupun mungkin sudah ada yang awal-awal lagi ketinggalan solat lima waktu ketika penerbangan pulang ke tanah air, ataupun terpaksa solat di akhir waktu kerana sibuk melayan anak cucu dan kaum kerabat yang bertandang ke rumah.

Perlu difahami betapa panggilan haji dan hajah bukan sekadar gelaran eksklusif buat mereka yang berjaya menyelesaikan segala kerja-kerja haji dan terhenti di situ sahaja.

Ia merupakan panggilan kekal seumur hidup dan akan dipertanggungjawabkan pula terhadap kelangsungan segala pengalaman dan pengajaran yang pernah ditimba hingga ke akhir hayat.

Hakikatnya itulah cabaran sebenar yang perlu dihadapi oleh golongan baharu dan lama bergelar haji dan hajah. Malah itulah antara petanda betapa segala pengorbanan wang ringgit, masa dan tenaga yang disumbangkan ke jalan Allah SWT diterima dengan sebaiknya.

Segala amalan mulia seperti solat berjemaah, beriktikaf di masjid selama berjam-jam lamanya, mengaji al-Quran, berzikir dan melakukan pelbagai solat sunat ketika qiamullail sebaiknya diteruskan walaupun dalam kesibukan memulakan tugasan harian dan menyelesaikan kerja-kerja yang tertangguh.

Perlakuan ini bersesuaian dengan apa yang pernah diungkapkan oleh Imam al-Ghazali rahimahullah yang menyenaraikan beberapa gambaran positif seseorang yang dikurniakan nikmat haji mabrur. Antaranya berubah dengan bersosial bersama rakan-rakan yang lebih baik dan meninggalkan kerja-kerja dosa dan maksiat yang pernah dilakukan sebelum menunaikan fardu haji.

Golongan haji dan hajah juga dinasihat supaya sentiasa menjaga nama baik dan kedudukan mereka di mata masyarakat. Usahlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Lebih menyedihkan apabila nama baik Islam tercalar dek kerana perbuatan buruk segelintir umat Islam apatah lagi yang berstatus haji dan hajah dengan pelbagai perkara dosa dan maksiat.

Persoalan lain yang perlu difikirkan oleh golongan haji dan hajah senior ataupun junior ialah bagaimana untuk mengekalkan ganjaran haji mabrur yang kemungkinan telah diperoleh.

Begitu pula bagaimana untuk mengekalkan diri tanpa berbuat kemungkaran setelah kembali tanpa dosa ibarat bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya. Ataukah setiap hari ganjaran dan pahala haji mabrur berkurangan hingga tiada apa yang tersisa untuk dipersembahkan kepada Allah SWT apabila kembali menghadapNya.

Sudah tentu ia sesuatu yang sukar dilaksanakan dalam realiti kehidupan semasa. Sebagai contohnya ketika di Tanah Haram tiada pakaian mendedahkan aurat dan menjolok mata, tetapi di tanah air ia seperti tontonan wayang percuma yang boleh dilihat dimana-mana.

Begitu pula ketika di Tanah Haram segala tutur bicara diperhatikan bimbang terlanjur kata lalu mengundang bencana. Apabila pulang ke tanah air ia tidak lagi diperhatikan mungkin kerana tiada balasan serta-merta yang ditakuti.

Golongan haji dan hajah juga diseru menjadi pendakwah untuk mengajak sanak saudara dan rakan taulan agar bersegera menunaikan fardu haji. Hidangan air Zam-Zam, kurma dan kekacang yang menjadi juadah kepada tetamu yang bertandang ke rumah hendaklah diselitkan dengan peringatan agar mereka segera mendaftar di Tabung Haji untuk menunaikan rukun Islam yang ke-5.

Semoga segala susah payah dan pengorbanan yang dilalui sebagai tetamu Nya dibalas dengan ganjaran haji mabrur dan nikmat Syurga yang tidak ternilai harganya. Begitu pula segala kisah suka-duka yang diceritakan oleh para tetamu Allah sekembalinya mereka ke tanah air tidak dijadikan alasan oleh segelintir masyarakat untuk berlengah dengan berbagai alasan yang tidak syarie.

Malah umat Islam diseru untuk belajar daripada pengalaman orang lain supaya tidak terlibat melakukan kesilapan yang sama. Bak kata orang "belajarlah daripada kesalahan-kesalahan orang lain kerana anda tidak akan hidup lama untuk melakukan kesalahan-kesalahan itu sendirian".